Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, antara persediaan tersebut adalah melanjutkan usia persaraan daripada umur 60 tahun, peningkatan keperluan kesihatan dan penambahan rumah kebajikan orang tua.

Beliau menambah, kerajaan perlu memikirkan langkah selepas persaraan sama ada melibatkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) dan pencen untuk kakitangan kerajaan.

“Setelah Malaysia berhadapan status negara tua, perkara sebegini menyebabkan produktiviti negara menurun kerana kurangnya tenaga kerja muda dan kos kerajaan bagi menampung para pesara meningkat.

“Negara kena belajar bagaimana Monaco dan Jepun yang mempunyai jumlah warga emas tertinggi di dunia mengurus golongan ber­kenaan,” katanya da­lam sidang akhbar di sini hari ini.

Raduan memberitahu, selain kerajaan, rakyat perlu melakukan persiapan apabila mereka perlu mempunyai kesedaran untuk menyayangi warga emas termasuk dalam kalangan anak-anak.

Katanya, kini lebih 6,000 daripada 1.9 juta warga emas menghuni di 16 buah rumah kenangan dan 165 rumah kebajikan swasta, dan MPN menjangkakan jumlah tersebut terus meningkat.

“Keadaan ini berlaku apabila anak-anak enggan menjaga ibu bapa mereka sehingga menyebabkan warga emas yang dihantar ke rumah terbabit mengalami gejala kekosongan dan kesunyian,” ujarnya.

Sehubungan itu, Raduan berkata, MPN menganjurkan program Belaian Kasih dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) di Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka, esok.

Menurut beliau, program itu merupakan langkah permulaan MPN untuk menyelesaikan krisis negara tua selain menyelami dan berkongsi masalah warga emas yang ditinggalkan oleh anak-anak.

“Selain itu, MPN kini dalam kerangka menyiapkan kajian mengenai keperluan warga emas untuk panduan negara pada masa akan datang, bagi kita yang paling penting adalah sikap menyayangi warga emas kerana situasi pengabaian golongan itu amat membimbangkan,“ katanya.