Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu, Burhanuddin Daud berkata, sikap segelintir pengerusi MPKK yang didakwa ingin mengambil alih kesemua pengurusan bakal membantutkan pelaksanaan sebarang program di peringkat kawasan.

"Walaupun aduan yang diterima sedikit tetapi kita tidak pandang remeh isu ini kerana ia melibatkan masyarakat setempat dan sikap pemimpin sedemikian hanya akan mencacatkan setiap perjalanan aktiviti setempat.

"MPKK perlu faham KRT diselia di bawah kerajaan Pusat dan bukannya daripada pengurusan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Pencegahan Jenayah, Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang diadakan di hotel Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, di sini hari ini.

Menurut Burhanuddin, semua pihak perlu mengetahui yang Akta Rukun Tetangga tertakluk kepada pengurusan kerajaan pusat justeru mana-mana pihak seperti kerajaan negeri perlu mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan dalam apa jua permasalasah.

Beliau memberitahu, pihaknya sebelum ini telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Sosial, Hanafiah Mat dan pada dasarnya telah bersetuju untuk berunding dengan lebih lanjut berkenaan permasalahan tersebut.

"Hanafiah bersetuju untuk membawa isu ini bagi dibincangkan pada mesyuarat exco kerajaan negeri pada minggu hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Burhanuddin berkata, terdapat sebanyak 501 KRT dan 486 SRS telah didaftarkan di negeri ini dan daripada jumlah tersebut hanya 80 peratus sahaja ahlinya yang bergerak aktif dalam skim. - UTUSAN ONLINE