Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, penyertaan 55 negara pada LIMA 2015 akan dipertingkatkan melalui beberapa usaha serta pendekatan proaktif yang diharap dapat menjadikan pameran udara dan maritim ketiga terbesar di dunia itu lebih besar.

“Kita sedia maklum LIMA sejak awal penganjurannya menerima peningkatan penyertaan daripada negara luar secara berperingkat. Dari semasa ke semasa, kita mendapat tumpuan dunia.

“Tetapi, pada tahun ini, penyertaan negara luar meningkat mendadak. Sehubungan itu, momentum tersebut akan dipertingkatkan pada penganjuran pameran akan datang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Pengarah Urusan HW LIMA Sdn. Bhd., Ahmad Dzuhri A. Wahab.

Dalam pada itu, Abdul Rahim menjelaskan, kementerian ber­bang­ga dengan sambutan oleh pengunjung pada LIMA 2015 sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang berada di luar ‘tradisi’ pameran tersebut selama ini.

Katanya, penganjuran program-program berteraskan ASEAN sempena LIMA pula dilihat sebagai sebuah anjakan baharu dalam menjadikan pameran tersebut lebih berprestij.

“Selain soal statistik, kita turut memuatkan pelbagai program baharu yang pastinya membawa impak yang signifikan terhadap imej negara dan LIMA sebagai antara pameran terbaik di dunia,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Dzuhri berkata, syarikatnya akan meningkatkan iltizam dalam usaha menarik seberapa banyak negara untuk menyertai pameran berkenaan.

“Apabila kita lihat respons daripada masyarakat antarabangsa ter­hadap LIMA ketika ini amat memberangsangkan, kita akan te­rus memperbanyakkan bilangan pempamer asing pada penganjuran akan datang,” katanya.