"Pelantikan ini bagi saya adalah satu amanah dan tanggungjawab besar untuk menerajui Jabatan Pengarang Bernama terutama sekali untuk membantu pelanggan-pelanggan media Bernama seperti kita sedia maklum media sedang mengalami cabaran.

"Ini menjadikan tugas Bernama lebih berat untuk membantu pelanggan-pelanggan media yang lain dalam menyampaikan berita dan maklumat kepada umum. Itu adalah keutamaan nombor satu saya," katanya dalam temu bual pertama selepas dilantik memegang jawatan itu berkuat kuasa semalam.

Selain itu Mokhtar juga mahu Bernama kekal signifikan selari dengan perubahan teknologi digital masa kini, terutama dalam bidang kewartawanan baharu termasuk kewartawanan peranti (mobile journalism), 'backpack journalism' dan 'data analytics'.

Elemen baharu itu amat penting dalam menjadikan bidang kewartawanan kekal relevan pada masa kini dan akan datang.

"Penting wujudkan suasana terbuka dan kebebasan untuk berkarya terutama wartawan muda yang mempunyai semangat baru dan berbeza, sesuai dengan platform media baharu. Ia adalah salah satu elemen yang harus diberi penekanan," katanya.

Mengulas mengenai konvergens media yang sedang diusahakan Bernama, Mokhtar berkata, ia bertujuan untuk pertingkat perkongsian maklumat dan bahan berita antara setiap jabatan bagi mengurangkan pertindihan kerja sekali gus memastikan operasi harian berjalan dengan lancar.

"Bernama bermula dengan perkhidmatan berita dalam bentuk teks dan foto, kemudian berkembang kepada platform televisyen iaitu Bernama News Channel (BNC) dan Bernama Radio. Malah kini kita juga ada platform digital seperti portal dan media sosial.

"Ini menjadikan perkhidmatan Bernama lebih luas sehingga menimbulkan cabaran tersendiri dalam melaksanakan operasi. Kerana itu, kita sekarang dalam proses konvergens bilik berita Bernama."

Beliau berkata, Bernama juga sedang mengkaji dan mempelajari struktur pengoperasian beberapa organisasi media di rantau ini yang telah melaksanakan proses konvergens.

"Kami sedang belajar daripada mereka aspek-aspek tertentu yang perlu kami lakukan pengubahsuaian," kata beliau. - BERNAMA