Anggota Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, hanya satu daripada empat segmen dalam projek itu menerusi Pakej 27A Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah siap.

“Kualiti jalan raya di Sabah dalam keadaan yang teruk dan boleh membahayakan pengguna berbanding di Semenanjung.

“Oleh itu, Kerajaan Pusat haruslah memperuntukkan lebih banyak dana untuk melaksanakan projek pembinaan jalan demi menggalakkan pembangunan industri pengangkutan dan pelancongan negeri serta mengelak kemalangan yang disebabkan oleh kerosakan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wong, Menteri Kerja Raya, Baru Bian sebelum ini menjelaskan pelaksanaan baki Pakej 27A itu tertakluk kepada penelitian lanjut dari segi kewangan dan teknikal.

Bagaimanapun, beliau berkata, menteri berkenaan memaklumkan Kerajaan Pusat telah mempertimbangkan permohonan kerajaan negeri Sabah supaya jajaran tersebut dapat dimasukkan sebagai skop tambahan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah. - BERNAMA