Pelantikan sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang kelima itu menyaksikan beliau dinaikkan pangkat kepada Laksamana Maritim daripada Laksamana Madya Maritim.

Upacara kenaikan pangkat dan pelantikan itu disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Mohd Zubil, 56, yang memulakan perkhidmatan bersama agensi itu sejak 2006 dilantik menggantikan Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar yang bersara wajib pada 5 Ogos lepas.

Sepanjang perkhidmatannya, Mohd. Zubil telah memegang pelbagai jawatan dalam sektor operasi, logistik dan pengurusan sebelum ke jawatan terakhir selaku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) yang disandangnya sejak Oktober 2018.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan antara Mac 2016 hingga Oktober 2018 dan terlibat secara langsung dalam merancang dan mengatur operasi dan penempatan aset Maritim Malaysia di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bagi menjaga keselamatan perairan Sabah Timur.

Beliau juga merupakan Komander Operasi bagi Ops Naga, iaitu operasi khas menangani isu pencerobohan bot nelayan Vietnam di perairan negara.

-- BERNAMA