Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, muzium yang menjadi salah satu simbol kepada negeri wajar menjadi salah satu fokus pendidikan dan penyebaran pengetahuan kepada para pelajar melalui satu modul khas yang dirangka kelak.

Menurut beliau, perkara tersebut telah dimakluman kepada Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya untuk tindakan susulan agar dapat dipraktikkan.

“Saya telah meminta supaya sekolah di bawah kerajaan negeri mempunyai satu modul yang khusus kepada pelajar untuk membolehkan mereka ke muzium dan membiasakan diri dengan bahan-bahan yang dipamerkan melalui tugasan yang perlu dibuat.

“Contohnya, ada pelajar yang berminat berkaitan tentang kendi, jadi mereka boleh membuat penulisan tentang kendi untuk mereka lebih faham tentang sejarahnya, pengunaan, bahan, kaedah pembuatan dan sebagainya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kearifan Tempatan-Tekstil Serta Pelancaran e-Commerce Muzium Maya dan Pelancaran Buku Kearifan Tempatan di Kompleks Muzium Negeri, di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Bahrin A. Kassim dan Pengarah Muzium negeri, Che Muhammad Azmi Ngah.

Menurut Dr. Ahmad Samsuri, adalah perlu dipupuk minat dan kecintaan generasi baharu kepada muzium dan bahan-bahan sejarah, dan kerajaan negeri akan turut akan berusaha melakukannya melalui bidang kuasa yang ada.

“Rugi dan menyedihkan sekiranya bangunan muzium yang begitu cantik dan besar ini tidak dijadikan tempat yang penting untuk dikunjungi oleh rakyat sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, seminar selama tiga hari yang bertemakan Tekstil Melestarikan Warisan turut melibatkan pembentangan kertas kerja oleh kalangan pengkaji, budayawan dan pencinta tekstil dari dalam dan luar negara.

Mereka termasuklah Prof. Madya Sulaiman Abdul Ghani , Prof. Madya Dr. Arbai’yah Abdul Aziz (Malaysia), Erika Dubler Bart dan Bernhard Bard (Switzerland), John Ang Kwan Ming (Taiwan) dan Paothong Tong Chua (Thailand).-UTUSAN ONLINE