Presiden dan Naib Canselor Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Prof. Datuk Seri Dr. Md. Zabid Abdul Rashid berkata, usaha komprehensif yang menggembleng pihak berkepen­tingan meliputi penggubal dasar, institusi pendidikan mahupun pemain industri perlu diwujudkan segera agar pembangunan modal insan yang dirangka seiring de­ngan keperluan semasa negara.

Beliau berkata, agenda tersebut perlu diberikan penekanan me­man­dang­kan banyak ka­jian yang menunjukkan kua­liti bakat dan kebolehpasaran pekerja semakin menurun seterusnya mendorong kepada peningkatan kadar pengangguran secara global.

“Sejak 2007, laporan kajian pekerjaan global menunjukkan trend penurunan dalam aspek bakat dan keupayaan pekerja dengan tahun lalu, sejumlah 40 peratus pekerja menghadapi kesukaran untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

“Jumlah itu meningkat dua pe­ratus berbanding tahun 2015 yang mencatatkan 38 peratus. Perkara ini berkait rapat dengan kualiti serta produktiviti pekerja yang semakin merudum dan pastinya turut didorong oleh proses pembangunan modal insan yang tidak selari dengan keperluan pasaran semasa yang diperlukan oleh pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Utusan Malaysia di Ibu Pejabat UniRazak, di sini hari ini.

Sementara itu, me­ru­juk kepada tahap kebolehan dan keupayaan pekerja tempatan, Md. Zabid berkata, rekod Jabatan Tenaga Kerja menunjukkan sejumlah 14.8 juta orang pekerja di seluruh negara ketika ini terlibat dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Menurutnya, bilangan itu me­nyamai atau lebih separuh daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang dianggarkan seramai 28 juta orang ketika ini.

“Daripada keseluruhan tenaga kerja, kadar pengangguran yang dicatatkan adalah 3.5 peratus atau 512,000 orang, menyaksikan kira-kira 60 peratus atau bersamaan 307,000 daripadanya adalah golongan muda berusia antara 17 hingga 24 tahun.

“Lebih mendukacitakan, statistik tersebut menunjukkan sebanyak 26.8 peratus atau bersamaan 82,276 orang adalah graduan de­ngan kelulusan diploma atau ija­zah yang merupakan antara go­longan berpendidikan tinggi,” ujarnya.

Tambah beliau, faktor utama menyumbang kepada kadar itu ada­lah proses pembangunan mo­dal insan yang tidak kondusif di samping tidak memenuhi keperluan semasa industri dalam negara.