Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan untuk menghantar misi kemanusiaan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Menurut kenyataan itu, misi yang diketuai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mendukung semangat Negaraku Prihatin merupakan manifestasi bantahan Malaysia sekeras-kerasnya terhadap penindasan berterusan oleh pasukan keselamatan Myanmar terhadap komuniti Rohingya.

“Misi yang disokong oleh badan sukarelawan iM4U ini te­lah me­mulakan operasi dan bersedia untuk bertolak Sabtu ini bagi meninjau serta menilai keada­an sebenar di kem-kem pelarian tersebut.

“Ia seterusnya bakal me­nyak­sikan penghantaran bantuan ke­perluan yang diuruskan secara komprehensif oleh Malaysia Airlines dan akan diedarkan oleh pasukan sukarelawan rakyat Malaysia yang tampil daripada pelbagai pertubuhan melalui kerjasama Malindo Air,” kata kenya­taan itu.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan bantuan dapat dihulurkan secara lebih efektif, perbincangan akan turut diadakan bagi rancangan menempatkan sebuah hospital tentera di daerah itu de­ngan persetujuan lanjut oleh pihak berkuasa Bangladesh.

Sebagai komuniti ASEAN yang berpegang teguh kepada nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat, Malaysia menggesa kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku berpandukan prinsip perlindungan hak asasi manusia yang termaktub dalam Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN serta resolusi yang dicapai melalui Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Januari lepas.

“Melalui bantuan kemanusia­an ini, hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Bangladesh dijangka meningkat untuk kebaikan bersama,” menurut kenyataan itu.

Melalui kenyataan itu, Najib menyeru rakyat untuk bersatu hati menjayakan misi berkenaan dengan memberikan bantuan secara kolektif dan berkesan melalui saluran rasmi yang akan diumumkan kelak. – BERNAMA