Azharuddin Abdul Rahman

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, mengikut prosedur operasi standard (SOP) apabila berlaku kecemasan, juruterbang terbabit perlu memberi penerangan secara jelas kepada penumpang apa yang berlaku ketika itu dan perancangan seterusnya.

“Dalam situasi berkenaan, juruterbang berkenaan tidak bersalah dan tidak langgar etika penerbangan apabila meminta penumpang membaca doa malah dalam setiap agama masing-masing digesa untuk memohon doa sekiranya berlaku sesuatu insiden.

“Berdoa adalah untuk meminta perlindungan daripada Allah. Penumpang juga boleh berdoa mengikut kepercayaan masing-masing, ia langsung tidak salah jika juruterbang itu meminta mereka berdoa untuk kebaikan dan keselamatan penerbangan berkenaan.

“Malah ada syarikat penerbangan lain, bacaan doa dijadikan amalan sebelum pesawat berlepas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai memberi penjelasan mengenai tindakan juruterbang dalam soal berdoa yang dipertikaikan segelintir individu.

Ahad lalu, pesawat Air Asia X D7237 yang berlepas dari Perth ke Kuala Lumpur kira-kira 7 pagi waktu tempatan terpaksa berpatah balik ketika berada di ruang udara dekat perairan Carnar­von, Australia berikutan masalah teknikal dan juruterbang itu dilaporkan meminta penumpang berdoa.

Walau bagaimanapun, tindakan itu dipertikaikan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang seolah-olah tidak merestui perbuatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Azharuddin berkata, tindakan juruterbang berkenaan adalah tepat dan sangat profesional dengan memberi penerangan kepada penumpang kenapa beliau perlu berpatah balik ke Perth.

“Beliau tidak boleh bercakap banyak kerana perlu fokus kendalikan pesawat supaya selamat tetapi juruterbang berkenaan sangat profesional apabila bertindak menjelaskan keadaan sebenar kepada penumpang dan keputusan yang dilakukan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Azharuddin menyifatkan juruterbang berkenaan sebagai seorang yang berkeyakinan dalam menguruskan situasi cemas tersebut tanpa memberikan satu pandangan yang menakutkan kepada penumpang.