Penolong Pengarang Majalah Hijab Fesyen, Norma Ibrahim berkata, pihaknya mengadakan mini ujibakat tersebut bagi Anugerah Hijabi Mestika Musim ke-3 yang akan diadakan pada September tahun depan.


“Bagi mereka yang datang ujibakat hari ini, mereka tetap perlu menyertai Siri Jelajah Hijab Fesyen yang akan diadakan di empat negeri iaitu di Aman Jaya Mall, Alor Setar, Kedah; Kuantan Parade, Pahang; Angsana Johor Bahru Mall dan Kuala Lumpur.


“Tapi kelebihan sesiapa yang datang hari ini adalah mereka akan diberikan tips-tips daripada kami ketika ujibakat semasa siri jelajah dijalankan,” katanya ketika ditemui Utusan Online selepas Program santai Hijab Demo di Bilik Pulau Pinang, PWTC, di sini hari ini.


Mengulas mengenai program tersebut, Norma berkata, pengunjung bersama pasangan masing-masing akan diminta untuk melilit tudung dengan cara mereka sendiri.


“Lilitan yang paling kemas dan kreatif akan mendapat hadiah ekslusif daripada Hijab Fesyen.


“Hari ini kita menerima penyertaan yang sangat ramai dan selepas ini banyak lagi aktiviti akan dijalankan khas untuk pengunjung Perhimpunan Agung UMNO 2017,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE