DATUK TPr. Rokibah Abdul Latif
DATUK TPr. Rokibah Abdul Latif 

Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Deas), Datuk TPr. Rokibah Abdul Latif berkata, sehubungan itu, peningkatan daya saing ekonomi perlu digalakkan dalam usaha meningkatkan rantaian nilai aktiviti ekonomi, mencapai pertumbuhan yang seimbang, kukuh dan berterusan dalam menjadikan kawasan desa yang sejahtera, berdaya huni dan berdaya tahan.

Beliau berkata, seiring dengan peningkatan bilangan penduduk dan pembangunan negara yang semakin pesat pada masa ini, implikasi dan tekanan ke atas agihan sumber jaya negara perlu diberikan perhatian supaya dirancang dan diurus secara lebih berhemah.

"Selain itu, aspek pengurusan dan pentadbiran bandar juga memerlukan satu anjakan paradigma baharu dalam menangani masalah kemiskinan bandar yang semakin meningkat.

"Tadbir urus bandar yang cekap diperlukan untuk mendepani fenomena kepadatan penduduk yang biasanya mengheret bersama permasalahan sosial di kalangan masyarakat, perancangan fizikal dan isu alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bertajuk 'Way Forward dan Peranan PLANMalaysia Ke Arah Pemantapan Perancangan Pembangunan Negara' dalam majlis Luncheon Talk sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Timbalannya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Ketua Setiausaha 
kementerian, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Mengenai cabaran pembangunan masa kini, Rokibah berkata, isu-isu perancangan bandar, alam sekitar serta kesejahteraan rakyat merupakan perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam proses urbanisasi bagi sesebuah kawasan.

Perancangan agihan sumber jaya negara, pembangunan infrastruktur, alam sekitar dan modal insan katanya, perlu diletakkan di atas jajaran keseimbangan dalam memastikan kesejahteraan dalam aspek perancangan pembangunan di negara ini dapat dicapai.

"Di peringkat global, komitmen Malaysia dalam penglibatan dan pelaksanaan 'Sustainable Development Goals' juga wajar diberi tumpuan. Terutamanya melibatkan aspek-aspek perancangan yang menuntut kepada langkah-langkah kualitatif yang merupakan agenda pembangunan jangka panjang sehingga tahun 2030.

"Begitu juga dengan pemakaian dokumen 'New Urban Agenda' yang akan menjadi asas dalam mencorak hala tuju pembangunan mampan, selamat, inklusif, berdaya tahan dan sejahtera untuk tempoh 20 tahun yang akan datang di negara ini," katanya. - UTUSAN ONLINE