Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan berkata, perkembangan tersebut membimbangkan pelajar India yang berlaku secara senyap dan hanya diketahui selepas perkara berkenaan menjadi tular dalam media sosial.

“Saya ingin meminta penjelasan Kementerian Pendidikan. Pertama, adakah wujud sebarang perubahan dalam dasar pengambilan pelajar ke program matrikulasi terutamanya untuk masyarakat India? Jika ada, apakah rasionalnya dan mengapa tidak diumumkan lebih awal dan secara konsisten sebelum permohonan masuk ke pusat-pusat matrikulasi dibuka?

“Kedua, dasar baharu bagi pengambilan pelajar ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan 2019 memfokuskan kepada 60 peratus pelajar daripada keluarga B40 dan 40 peratus dari keluarga M40. Namun begitu, berapa ramaikah pelajar masyarakat India daripada golongan ini diterima masuk dan berapakah yang ditolak permohonan dan apakah sebabnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beberapa hari lalu tular mengenai peruntukan kuota pelajar India ke pusat-pusat matrikulasi negara bagi 2019 yang mendakwa permohonan pelajar India ditolak untuk mengikuti kursus matrikulasi meskipun mereka memperolehi keputusan cemerlang bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu.

Vidyananthan percaya majoriti pelajar India yang diterima masuk ke program matrikulasi pada 2018 dan sebelumnya berasal daripada keluarga B40 dan M40, maka dasar baharu pengambilan pelajar pada tahun ini sepatutnya tidak dikurangkan dengan banyak sekali.

“Ketiga, apa jaminan Kementerian Pendidikan kuota 2,200 pelajar India ke program matrikulasi tidak dikurangkan pada masa depan malah ditambah lagi mengikut keperluan? Mengikut trend permohonan, lebih 6,000 pelajar India memohon setiap tahun dari 2013 dan jumlah ini akan bertambah.

“Dengan kekurangan kuota kemasukan masyarakat India, secara langsung lebih ramai pelajar yang layak akan ditolak permohonan mereka. Selain itu, jumlah pelajar India di universiti-universiti awam juga akan menurun daripada sedia ada kerana mereka tidak dapat mengikuti program matrikulasi Kementerian Pendidikan sebagai permulaan,” katanya.

Kuota pelajar India katanya, tidak perlu dikaji dan bukan satu tindakan yang bijak untuk mengurangkannya, jika tersilap langkah kepercayaan masyarakat tersebut terhadap kerajaan sedia ada akan terhakis sekali gus tidak lagi memilih mereka pada masa akan datang.

Beliau berkata, MIC Johor amat kecewa dengan perkara tersebut lebih-lebih lagi dasar dan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang langsung tidak menguntungkan masyarakat India apatah lagi dalam suasana Malaysia baharu.

“Di Johor contohnya dalam Bajet 2018 peruntukan bagi kaum India dikurangkan secara signifikan dan tiada tindakan inklusif atau intervensi khas dibuat kerajaan PH untuk memajukan dan membela masyarakat India di Johor dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kebajikan am,” katanya. - UTUSAN ONLINE