Portal tersebut menggabung­kan beberapa jenama penerbitan yang cukup terkenal dalam bidang hiburan serta gaya hidup seperti Pancaindera, URTV dan majalah Wanita, selain menyiarkan televisyen web, MHETV.my.

Penggabungan elemen-elemen itu sekali gus menjadikan portal berkenaan sebagai hab berita hiburan digital di negara ini.

Dengan melibatkan sekitar 50 profesional yang terdiri daripada pengarang, penulis, wartawan, pengeluar, pengarah filem dan kreatif, ahli strategi pemasaran serta pengiklanan, MHE disasar menjadi ikon industri media tempatan masa depan.

Pelancaran MHE disempurnakan oleh Menteri Pemba­ngunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.

Yang turut hadir, Penge­rusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir; Ketua Pegawai Eksekutif MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Artis-artis popular tanah air seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk DJ Dave, Ziana Zain, Maya Karin, Fizo Omar, Aiman Tino, Khai Bahar, Nabila Razali turut hadir memeriahkan majlis pelancaran tersebut.

Dalam majlis itu juga dua memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani iaitu untuk penganjuran Pakistan Afghanistan Malaysia Food and Culture Show (Pamfacts) pada Februari tahun depan de­ngan On Muse Talent Ma­nagement.