Baginda yang juga Penjaga Dua Masjid Suci bertitah, juste­ru pihak universiti dan pusat penyelidikan di negara-negara Islam perlu menyahut segala cabaran itu dengan menghasilkan kerja yang boleh menyumbang kepada pembinaan tamadun Islam.

Titah Raja Salman, sumbangan institusi-institusi pengajian tinggi itu amat penting kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada negara masing-masing, malah kepada negara-negara lain di dunia.

“Universiti merupakan pusat pembinaan negara dan bangsa yang mempunyai misi untuk merealisasikan pembangunan dalam pelbagai dimensi secara menyeluruh.

“Ia juga berperanan memperkukuhkan perpaduan nasional, memperkasakan budaya dialog, nilai toleransi dan keharmonian hidup antara pelbagai bangsa.

“Hal ini penting untuk mereali­sasikan keamanan dan kedamai­an di peringkat antarabangsa hingga masyarakat dunia keseluruhannya dapat menikmati kese­jahteraan dan keselesaan,” titah baginda.

Raja Salman bertitah demikian dalam Istiadat Konvokesyen Khas yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), malam ini.

Pada majlis itu, baginda dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan daripada UM yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Canselor UM.

Anugerah ijazah berkenaan sebagai mengiktiraf sumbangan besar baginda dalam melakukan pelbagai inovasi sepanjang pemerintahannya selain sumbangan tidak ternilai khususnya dalam pembangunan ummah dan kemanusiaan sejagat.

Dalam pada itu, Raja Salman bertitah, sebagai universiti tertua di Malaysia, UM diakui telah memberikan banyak sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan di negara ini serta negara-negara lain.

“Pada hari ini kita bertemu di UM, salah sebuah pusat pengembangan ilmu penge­tahuan dalam pembangunan dunia. Sesungguhnya antara nikmat Allah terhadap umat Islam adalah nikmat ilmu pengetahuan yang merupakan asas pembinaan tamadun dan kemajuan manusia,” titah baginda.