Naib Presiden Mercy Malaysia, Prof. Dr. Shalimar Abdullah berkata, sebelum ini tumpuan Mercy diberikan kepada penerima dan meningkatkan mutu penyampaian program, namun melalui IHC 2019 ini mereka ingin membawa sektor kemanusiaan ke tahap baharu melalui perkongsian ilmu dan pengalaman.

Katanya, peserta persidangan itu akan memperoleh manfaat dan menemui minat mereka dalam bidang kemanusiaan dan setereusnya akan dapat meningkatkan kualiti kesukarelawanan di negara ini.

“Fokus Mercy Malaysia pada tahun-tahun sebelum ini kebanyakkannya ditumpukan kepada penerima dan meningkatkan mutu penyampaian program kami, namun bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 kali ini, kami ingin membawa sektor kemanusiaan ke tahap lebih tinggi dengan pemindahan ilmu dan pengalaman di IHC 2019 yang bakal diadakan.

“Melalui IHC 2019 peserta akan memperoleh pandangan dan inspirasi, menemui minat dalam dunia kemanusiaan, berhubung dengan pakar dari dalam dan luar negara dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti kesukarelawanan di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Persidangan tersebut akan menampilkan lebih 100 pemimpin kemanusiaan dan penceramah dari serata dunia akan turut dihadiri oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sejak penubuhan NGO tersebut pada 1999, Mercy Malaysia telah berkembang dari organisasi bantuan perubatan kepada agensi kemanusiaan yang mengamalkan Pengurusan Risiko Bencana melalui bantuan, rawatan, kawalan dan pencegahan. - UTUSAN ONLINE