Asyraf Wajdi

Jelas Asyraf Wajdi, beliau menghormati kebolehan Maszlee namun rakyat pastinya menuntut janji Ahli Parlimen Simpang Renggam itu yang sebelum ini bertekad untuk tidak mencampuri urusan pentadbiran universiti.

“Membuat kami terkejut apabila Maszlee menerima jawatan Presiden UIAM pada masa yang sama Setiausaha Politiknya (Mohd. Nizam Morad) pula dilantik sebagai Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia.

“Kotakan janji, lantiklah tokoh cendekiawan yang dihormati rakyat untuk mengemudi universiti dalam era kerajaan baharu ini,” katanya dalam satu kenya­taan hari ini.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Maszlee sepatutnya memberi fokus dan perhatian kepada beban tanggungjawab sedia ada dan tidak berdolak-dalik dalam memberi justifikasi kepada kewajaran menerima pelantikan di universiti.

“Rakyat Malaysia mengharap­kan para menteri berpegang kepada janji perubahan. Amatlah tidak wajar, seorang menteri membohongi dan mendustai komitmen yang telah beliau sendiri nyatakan secara berulang kali.

“Pandangan bahawa Presiden UIAM wajar dilantik dalam kala­ngan ilmuwan dan ahli akademik juga pernah disuarakan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan Persatuan Kakitangan Akademik UIAM sendiri. Justeru, tindakan paling wajar dan tepat buat Maszlee adalah menolak jawatan tersebut dengan penuh hormat,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunku, Lim Yi Wei turut menggesa Maszlee melepaskan jawatannya sebagai Presiden UIAM yang baharu.

Yi Wei yang juga Pengerusi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Petaling Jaya Utara berkata, sebagai seorang ahli politik yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam Kementerian Pendidikan, memegang pula jawatan tertinggi di sebuah universiti jelas akan mewujudkan konflik kepentingan.

“Sama ada peranan presiden itu adalah eksekutif atau bukan eksekutif adalah tidak penting. Kita tidak seharusnya memusnahkan manifesto kita dengan kelemahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Manakala Pengarah Komunikasi Awam, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Dr. Wong Ang Peng pula berkata, Maszlee sepatutnya menolak pelantikan tersebut sebagai menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited terhadap ketelusan dan tadbir urus yang baik.

“Walaupun jawatan itu tidak datang dengan kuasa eksekutif, pelantikan Maszlee boleh membawa kepada politik tidak sihat. Nilai, etika dan tadbir urus yang baik bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan,” katanya.

Asyraf Wajdi