Sambil menafikan tuduhan itu, beliau melihat dakwaan tidak ber­asas itu berniat jahat dan dilakukan untuk menjejaskan repu­tasi baik sebagai wakil rakyat serta kerjayanya sebagai doktor pakar.

Malah, beliau percaya dakwaan tersebut mempunyai agen­da tersembunyi di sebalik pen­calonan namanya sebagai Men­teri Besar Selangor baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya difahamkan dakwaan ini ditularkan menerusi pelbagai platform media sosial sejak beberapa ketika dan saya hanya mendapat tahu petang semalam.

“Hasil semakan saya dengan pihak pengurusan Kolej Vision, saya mendapat pengesahan bahawa kolej tersebut tidak pernah mengalami sebarang masalah apatah lagi dakwaan salah laku berkaitan PTPTN atau Kementerian Pendidikan Tinggi, sejak ditubuhkan pada Julai 2005.

“Rekod saya bersih dan bebas rasuah, malah pernah mengisytihar harta juga. Apa motif sebenar penularan dakwaan ini? Mengapa disebarkan pada saat-saat akhir sebelum Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor baharu?” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di kediamannya dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kolej Vision, Datuk Lee Wee Loong.

Dakwaan yang tersebar menerusi media sosial baru-baru ini antara lain turut menuduh Idris sebagai pemilik Kolej Vision, selain mendakwa bekas Ketua Pegawai Operasi kolej berkenaan telah membuat laporan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara tersebut.

Mengulas lanjut Idris berkata, beliau hanya mengetahui mengenai dakwaan tersebut pada pukul 3 petang kelmarin melalui laman Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Selain itu kata beliau, sebagai rekod, beliau merupakan salah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah Kolej Vision sejak 2005 dan masih mengekalkan pega­ngan saham sebanyak 35 peratus.

Tambahnya, kolej tersebut di­tubuhkan bertujuan membantu masyarakat mendapatkan pendidikan dalam bidang perubatan.

“Memandangkan dakwaan ini amat serius, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara pada kira-kira pukul 7 malam pada hari yang sama dan kemudian dinasihatkan membuat susulan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang demi mem­bersih­kan nama saya. Perbuatan fitnah ini harus dihentikan,” ujarnya.