Kejayaan itu membolehkan universiti berkenaan mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Eksekutif Akaunnya, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi kepada Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar dalam majlis penutup program UMT Mengaji Tanpa Henti di Dewan Solat Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT di sini semalam.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali yang mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dr. Nor Aieni dalam ucapannya berkata, program kali ini merupakan satu sejarah setelah genap 10 tahun program UMT Mengaji Tanpa Henti itu mula diperkenalkan pada 2009.

“Untuk kali ini, ia berlangsung dari 17 hingga 22 Mei yang melibatkan seramai 500 peserta. Mereka bertadarus dan bertadabbur makna ayat suci al-Quran selama 24 jam seharian secara bergilir.

“Hari ini (semalam) juga bersempena Nuzul al-Quran, program UMT Mengaji Tanpa Henti telah capai bacaan selama 120 jam tanpa henti dan khatam 30 juzuk,” katanya.

Beliau turut menyifatkan program itu cukup bermakna berdasarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat iaitu warga emas, golongan cacat penglihatan, kanak-kanak berumur 6 hingga 8 tahun selain mualaf dan pelajar antarabangsa.

Penganjuran program itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta dan masyarakat bahawa budaya amalan membaca dalam kehidupan seharian bukan hanya untuk ibadat semata malah sebagai terapi dan pedoman hidup. - UTUSAN ONLINE