Pengerusinya, Datuk Nageeb Wahab berkata, beberapa perkara dipertimbangkan ketika ini untuk memastikan langkah diambil menguntungkan organisasi dan pesertanya, termasuk menjual Menara Felcra yang sedang diba­ngunkan di Jalan Semarak.

Beliau berkata, pembinaan menara yang dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung 2019 itu, berkemungkinan dijual kepada pembeli berminat dan berpotensi bagi mendapatkan kembali modal yang telah dilaburkan.

“Felcra dalam proses berun­ding bersama beberapa pihak yang berminat terhadap projek pembinaan yang sedang berjalan ketika ini dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion.

“Kami masih berusaha menjual Menara Felcra secepat mungkin jika rundingannya lancar dan mencapai persetujuan yang diingini termasuk harga yang ditawarkan dengan mengambil kira kos telah dibelanjakan serta nilai hartanah semasa di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Felcra Berhad, Mohd. Nazrul Izham Mansor, 43, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Nageeb turut memperkenalkan Mohd. Nazrul Izham yang dilantik menggantikan penyandang sebelumnya, Datuk Zulkarnain Md. Eusope yang tamat tempoh perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Nageeb ber­kata, antara tugas penting dan perlu dilaksanakan CEO baharu itu termasuklah menilai dan membuat keputusan tepat dalam proses rundingan penjualan Menara Felcra bagi menghasilkan untung berbaloi.

Menurutnya, hasil keputusan perlu mengambil kira kebajikan dan kepentingan setiap peserta Felcra seramai 120,000 di semua rancangan tanah miliknya di seluruh negara, memandangkan objektif utama organisasi adalah sosial peserta.

“Kami tidak berdepan ma­salah kewangan kritikal ke­rana pula­ngan yang diraih hasil pengurusan rancangan tanah masih kondusif, namun yang dirisaukan ialah harga pasaran kelapa sawit dan getah yang rendah ketika ini,” ujarnya.

Selain itu Nageeb berkata, beberapa aset tidak strategik dan tidak menghasilkan pula­ngan menguntungkan akan turut dikaji keperluannya sama ada ditutup atau dijual.

“Semasa audit kewangan dan pengurusan dibuat, ada kemungkinan subsidiari tidak me­nguntungkan ditutup atau dijual, malah jika berlaku salah tadbir atau penyelewengan, tindakan perundangan seperti yang sepatutnya akan diambil terhadap sesiapa yang terlibat,” tegasnya.