Lebih 100 juadah istimewa disediakan untuk para pengunjung pada setiap hari sepanjang tempoh itu yang bermula dari 8 Mei sehingga 1 Jun ini.

Pelancaran menu berbuka puasa itu yang menjadikan hidangan kambing golek, teppanyaki ayam dan daging sebagai hidangan khas mereka, disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Segi Seri, Azhar Baharin.

Yang turut hadir Pengurus Besar Kumpulan Segi Seri, Hazrul Anuar Abd. Hamid dan Pengurus Besar Menara Alor Setar, Haslinda Abd. Rashid.

Menurut Azhar, beliau yakin penduduk di bahagian utara Semenanjung dan khususnya di negeri ini, tidak akan melepaskan peluang untuk berbuka puasa di situ, dengan cara yang berbeza dari tempat-tempat lain.

“Kita juga akan datangkan khas muzik ghazal pada setiap hari sebagai halwa telinga semasa para pengunjung berbuka puasa,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Hazrul Anuar memberitahu, pihaknya menyasarkan 10 hari sepanjang bulan tersebut untuk menerima tempahan yang baik iaitu pada dua hari cuti setiap hujung minggu selain ditambah dua hari lagi pada cuti umum Nuzul Quran serta hari Wesak.

“Kita berharap dengan meletakkan tahap kualiti makanan dan perkhidmatan yang tinggi, ia akan menjadi pemangkin kepada orang ramai memilih Starsky Restaurant and Lounge sebagai lokasi restoran pilihan sama ada semasa Ramadan atau pun pada masa-masa lain,” katanya.

Sementara itu, antara menu disediakan ialah masakan Melayu seperti ayam gulai darat rebung, daging masak hitam, ikan daun selasih, telur bungkus dan tomyam atau sup tulang.

Selain itu turut dihidangkan mee goreng, laksa Penang, mee rebus, nasi ayam dan kuih-muih tradisional serta aneka jenis bubur.

Masakan Asia Barat pula adalah seperti shawarma ayam, roti pita dan salad.

Bagi melengkapkan hidangan, orang ramai boleh menikmati air batu campur, cendol dan ais krim di samping tiga jenis air sejuk dan panas.

Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 04-7363427/04-7202901/017-2728990/014-8414461 untuk tempahan dan mengetahui pakej-pakej ditawarkan.

Harga yang ditawarkan ialah RM70 untuk dewasa dan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun pula RM35 setiap orang. - UTUSAN ONLINE