Justeru, ketika mereka sama-sama terlibat dalam satu majlis persembahan tahun lalu, Hael menggunakan peluang tersebut ‘melamar’ Dayang untuk berduet dengannya.

Ketika itu mereka berdua baru sahaja melayakkan diri untuk bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) Februari lalu.

Bagaimanapun, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 31, berkata, Dayang tidak terus memberikan persetujuan.

Sebaliknya, penyanyi lagu Separuh Mati Bercinta itu mencabar Hael dengan niat untuk bergurau.

“Selepas saya menyatakan keinginan untuk berduet dengannya, Dayang bergurau dengan menyuruh saya memenangi AJL32 terlebih dahulu.

“Tanpa disangka rezeki AJL32 menyebelahi saya. Disebabkan itu, saya semakin berani untuk menghubungi Dayang dan ‘melamarnya’ sekali lagi. Kini, impian tersebut sudah menjadi kenyataan,” jelas Hael ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video Haram semalam.

Sementara itu, Dayang mengakui bukan mudah untuknya terus bersetuju dengan lamaran Hael.

Ini kerana baginya, berduet tidak semudah yang disangka dan tugas itu bukan sekadar dua orang penyanyi menyanyikan sebuah lagu.

“Saya membuat keputusan untuk berduet selepas saya mendengar lagu dan mengkaji dan suara kesesuain suara kami berdua. Ia juga penting untuk melihat sama ada suara saya mampu atau tidak menyanyikan lagu tersebut.

“Saya bersyukur kerana hasil yang kami peroleh sangat baik. Saya sukakan suara Hael serta melodi Haram ini juga. Lagu tersebut merupakan cantuman antara dua muzik yang biasa kami berdua bawa sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang kemungkinan besar pendengar akan membandingkan lagu Jampi dengan Haram, Hael menjelas, hal itu tidak merisaukannya.

“Lagu Jampi mempunyai keistimewaan tersendiri. Begitu juga dengan lagu Haram. Kedua-dua lagu tersebut ada perbezaannya dan tiada lagu lain yang boleh menggantikan lagu Jampi.

“Sebagai pencipta lagu, saya akan pastikan saya tidak akan mencipta lagu yang sama seperti lagu-lagu sebelum ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE