Majlis tersebut itu juga diadakan sebagai menghargai sumbangan dan perjuangan presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan itu yang disanjung atas keberaniannya menentang dasar aparteid.

Mandela yang meninggal dunia pada 2013, menjadi ikon antarabangsa atas perjuangan beliau menentang pemerintahan minoriti kulit putih dengan membawa mesej perdamaian sehingga sanggup dipenjarakan selama 27 tahun oleh kerajaan aparteid ketika itu.

Pengasas Country Heights Holdings Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew berkata, penganjuran acara tersebut diharap dapat mengeratkan lagi hubungan Malaysia dengan Afrika Selatan melalui perkongsian budaya, peluang ekonomi, serta pendidikan.

“Semalam, genaplah 100 tahun kelahiran insan istimewa ini namun jasa serta nama beliau kekal disebut-sebut sehingga ke hari ini.

“Mandela telah mengubah Afrika Selatan sepenuhnya sewaktu pemerintahannya. Siapa sangka, daripada seorang bekas banduan, dia menjadi presiden sebuah negara dan berjaya membebaskan negara tersebut daripada kemiskinan dan menyokong perpaduan kaum,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Nelson Mandela Centenary, di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia, Samkelisiwe Isabel Mhlanga. - UTUSAN ONLINE