Ahli Lembaga Kaunselor, Kementerian Pembangunan Wani­ta, Keluarga dan Masyarakat, Mumtaj Begum Mohd. Sultan berkata, perkhidmatan kaunseling di negara ini sudah bermula sejak lebih 50 tahun lalu.

Malah katanya, profesion kaunselor juga telah mendapat status profesional apabila Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) dikuatkuasakan hampir 20 tahun lalu.

Namun, kata­nya, peranan kaunselor dan per­khid­matan kaunseling dalam masyarakat di negara ini dilihat masih rendah, mungkin disebabkan kaunseling itu dianggap sebagai sesuatu yang terlalu peribadi.

“Jadi salah satu objektif sam­butan Bulan Kaunseling Kebangsaan adalah untuk meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap perkhidmatan kaunseling di negara ini. Persepsi umum yang melihat kaunseling hanya untuk tujuan pemulihan semata-mata telah meninggalkan tanggapan negatif terhadap perkhidmatan tersebut.

“Malah lebih buruk lagi, ada yang beranggapan jika individu itu berjumpa dengan kaunselor maka dia mengalami masalah mental. Ini merupakan panda­ngan yang salah dan persepsi ini perlu dibuang jauh-jauh,” katanya.

Tambahnya, kefahaman ma­syarakat terhadap fungsi dan peranan sebenar kaunselor dan perkhidmatan kaunseling dalam membawa transformasi kepada masyarakat dilihat begitu terbatas.

“Masyarakat di negara ini masih malu untuk berjumpa dengan kaunselor justeru menerusi penganjuran Bulan Kaunseling Kebangsaan ini diharap dapat menepis segala salah faham tersebut de­ngan memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami peranan sebenar kaunselor,” katanya.

Menurutnya, Sam­butan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2017 telah dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Putrajaya baru-baru ini de­ngan bertemakan #membudayakan­kaunseling.

Tema tersebut, katanya adalah selari dengan hasrat untuk menjadikan perkhidmatan kaunseling di negara ini sebagai satu budaya dalam kehidupan seharian individu.

Menurut Mumtaj Begum, pelbagai program kaunseling dijalankan sepanjang bulan Oktober ini oleh setiap kementerian, jabatan, agensi dan negeri mengikut kumpulan sasar ma­sing-masing berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Bulan Kaunseling yang diedarkan.

“Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat turut menjalankan beberapa aktiviti secara Strategi Lautan Biru (NBOS) bersama beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.

Beliau berharap dengan pengisytiharan bulan Oktober sebagai bulan kaunseling akan dapat membantu memartabatkan lagi profesion kaunseling di negara ini.

“Ini seterusnya membudayakan perkhidmatan kaunseling dalam masyarakat dan membolehkan masyarakat lebih sedar fungsi perkhidmatan ini dalam membantu menangani masalah psikologikal dalam kalangan mereka,” katanya.

Tambahnya, setelah hampir 20 tahun Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) dikuatkuasakan, impak antara masyarakat dan kaunseling seharusnya lebih positif dan kaunseling sepatutnya telah meresap menjadi budaya dalam masyarakat.

Menurutnya, setakat 31 Ogos lalu, terdapat seramai 7,397 kaunselor berdaftar di negara ini dengan nisbah seorang kaunselor bagi 4,351 orang penduduk. Ini jelas menunjukkan bahawa keperluan perkhidmatan kaunseling amat tinggi di negara ini.

“Bagi memastikan para kaunselor di negara ini dapat memberikan pertolongan yang profesional kepada setiap kliennya, Lembaga Kaunselor telah memperkenalkan standard latihan bagi enam kursus dalam bidang kaunseling di institut pengajian tinggi awam dan swasta bagi pengajian peringkat sarjana bermula tahun depan.

“Piawaian ini diluluskan pada 2013 dan dikemaskinikan dua tahun lalu bertujuan melahirkan kaunselor yang mahir dalam bidang bersesuaian dengan keperluan semasa.

“Enam bidang tersebut adalah kaunseling ketagihan, kaunseling kerjaya, kaunseling kesihatan mental klinikal, kaunseling perkahwinan dan keluarga, kaunseling sekolah serta kaunseling pelajar institut pengajian tinggi,” katanya.