Menurut Presiden Usahanita, Norizah Mohd. Nor, program selama sehari yang berlangsung serentak di seluruh negara itu diadakan sempena 33 tahun kewujudan Usahanita berperanan untuk menerangkan hala tuju, visi dan misi persatuan berkenaan dengan lebih terperinci kepada setiap ahlinya.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik telah pun dirancang dalam program tersebut seperti sesi perkongsian bersama usahawan yang telah berjaya, ekspo mini, cabutan bertuah dan klinik bimbingan perniagaan.

“Saya yakin dengan kewibawaan setiap ketua daerah dan pengerusi negeri Usahanita bagi memastikan setiap program dan aktiviti berpanjangan yang diadakan dapat memberi hasil yang positif.

“Program ‘Members Day’ ini juga diadakan untuk memberitahu pihak luar, usahawan serta peniaga wanita yang sedang mencari platform untuk mengembangkan perniagaan dan menjadikan Usahanita sebagai pusat sehenti merangkumi pelbagai aktiviti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE