Perkara tersebut diputuskan sebulat suara selepas berlangsung­nya Persidangan Meja Bulat Perpaduan Ummah: Peranan Insitut Wasatiyyah Malaysia (IWM) yang disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh akademik, pemimpin politik dan wakil media.

Persidangan itu dipengerusikan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin dan antara tokoh yang terlibat ialah, Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Wan Zahidi Wan Teh; Pakar Sejarah, Datuk Dr. Ramlah Adam; Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Tan Sri Ibrahim Abu Shah; Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan.

Menurut Abdullah, orang Melayu tidak mustahil akan kehilangan kuasa politik pada masa hadapan jika masalah perpecahan akibat ideologi sempit tidak segera diperbaiki menerusi semangat jiwa besar para pemimpin politik tanah air.

“Kita perlu gerakkan segera grand design ini demi perpaduan orang Melayu kerana tiada guna untuk kita terngadah selepas kita sudah kehilangan kuasa politik akibat sengketa sesama kita, ketika itu segala-galanya sudah terlewat,” katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah IWM, Datuk Mohd. Yusof Din; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor serta Ketua Eksekutif Centhra, Azril Mohd. Amin.

Pada persidangan tersebut juga dua kertas kerja bertajuk ‘Manhaj Quran dan Sunnah Dalam Memelihara Perpaduan Ummah’ serta ‘Wasatiyyah Sebagai Satu Cara Kehidupan di Malaysia’ masing-masing dibentangkan oleh Wan Zahidi dan Ramlah.

Dalam pada itu, Persidangan Meja Bulat tersebut juga menegaskan bahawa wasatiyyah bukan bererti orang Melayu perlu bersederhana sehingga mengorbankan diri sendiri tetapi konsep wasatiyyah sebenar ialah keadilan.

“Banyak sudah kita berkorban demi kebaikan negara tetapi bersederhana dalam konteks wasatiyyah tidak bererti kita perlu membunuh diri kerana toleransi dalam wasatiyyah itu mesti ada hadnya, mesti ada batas-batasnya,” kata Ramlah.