Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang pihaknya menyasarkan pembinaan sebanyak 49,000 RMM di negeri ini sekali gus memberi peluang kepada rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Pembinaan lebih banyak RMM merupakan bukti jelas komitmen tinggi kerajaan negeri untuk menjayakan program pembinaan rumah kategori tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian projek pembinaan Rumah Mampu Milik Merlimau 1 antara kerajaan negeri yang diwakili Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Paduwan Realty Sdn. Bhd. di Seri Negeri di sini hari ini.

Pada majlis itu, Adly selaku Pengerusi LPM dan Ketua Eksekutif LPM, Salleh Md. Dom mewakili kerajaan negeri manakala Paduwan Reality Sdn. Bhd. diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Seri Poh Geok Seng dan Pengarah syarikat, Poh Tin Yap.

Sebanyak 411 unit RMM akan dibina dan dijual pada harga RM180,000 seunit manakala sebanyak 981 buah rumah jenis teres A akan dibina dengan harga jualan RM280,000 dan 258 rumah jenis teres B dijual pada harga RM450,000 seunit. - UTUSAN ONLINE