Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata, ia penutupan itu bagi membolehkan pihaknya mempertingkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan termasuk memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung yang menggunakan produk pelancongan tersebut.

Beliau berkata, meskipun ia akan menjejaskan kutipan tiket, namun penutupan itu memberi peluang kepada pihaknya menjalankan aktiviti pengurusan untuk kakitangannya.

“Penutupan ini memberi peluang kepada PPSPM untuk menambah baik mutu perkhidmatan sejajar dengan usaha menarik sejumlah 1.5 juta pengunjung sempena Tahun Melawat Melaka 2019,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Azlan, tahun ini juga PPSPM membuat pembaharuan kepada produk pelancongan di Sungai Melaka itu dengan kewujudan bot Mawar yang diceriakan dengan lampu hiasan serta menawarkan perkhidmatan sambutan majlis di atas bot seperti majlis ulang tahun dan sebagainya.

Menurutnya dua bot baharu juga akan ditambah, dijangka akhir bulan ini bagi memberi lebih keselesaan kepada pengunjung yang semakin ramai terutama pada musim cuti persekolahan dan cuti umum.

"Seperti cuti tahun baharu minggu lalu, kita menerima kehadiran kira-kira 8,000 pengunjung dan satu jumlah tersebut amat memberangsangkan.

"Penambahan dua bot baharu bagi menambahkan bilangan 34 buah bot yang sedia ada, yang mana kita turut sasarkan untuk memiliki 55 buah bot bagi menampung keperluan Melaka River Cruise Fasa Dua selain 21 bot yang akan ditukar baharu hingga tahun depan," katanya. - UTUSAN ONLINE