MAS ERMIEYATI

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, antara perkara utama yang akan diambil kira ialah kaedah tersebut mesti cekap selain memastikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh dikecualikan bagi mengelakkan jemaah umrah terbeban dengan peningkatan kos.

“Kita alu-alukan cadangan untuk penambahbaikan bagi memastikan kes jemaah umrah ditipu dapat ditangani.

“Cadangan-cadangan yang disuarakan ini kemudian akan dibawa ke Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) untuk kita jalankan kajian pasaran terlebih dahulu agar kaedah yang diambil tidak menjadikan rakyat terbeban,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rashidi Hasbullah.

Sistem Imams yang dilancarkan semalam dibatalkan hari ini setelah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak berikutan bakal berlaku pe­ningkatan kos umrah.

Menurut Mas Ermieyati, beliau juga akan memastikan hanya mereka yang beragama Islam terlibat dalam pe­ngendalian sebarang urusan berkaitan umrah selepas ini.

“Saya akan memastikan 100 peratus umat Islam sahaja yang boleh mengendalikan perkara-perkara berkaitan ibadah umrah ini.

“Syarikat pengendali Imams sebelum ini Ketua Pegawai Operasinya bukan Islam dan dia telah meletakkan jawatan namun hal ini tidak juga selesaikan masalah jadi kita ambil keputusan untuk batalkan Imams setelah mendengar pandangan semua pihak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah me­ngenalpasti mereka yang terlibat dalam sindiket penjualan visa yang menyebabkan ramai jemaah tertipu.

“Saya beri amaran mereka-mereka ini tidak akan terlepas dan saya tahu siapa mereka.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang terlibat dalam penjualan visa ini,” katanya.