Sehubungan itu, titah baginda, kedua-dua pihak perlu untuk terus berhubung, peka dan saling membantu dalam menyalurkan berita-berita yang lebih pantas, tepat dan positif terutamanya yang melibatkan kepentingan isu-isu sempadan, kemanusiaan, keganasan dan antarabangsa.

Titah baginda, apa yang paling penting dan utama ialah maklumat itu haruslah sentiasa memberikan kesan atau impak positif terhadap masyarakat dan dalam memperkukuhkan kerjasama dan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Thailand.

“Walaupun kita sedar bahawa terdapat sedikit perbezaan dari sudut bahasa dan budaya, namun tidaklah menjadi penghalang jika kedua-dua media untuk sentiasa berhubung dan bersedia menulis laporan yang benar dan bersifat membina,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berkenan menerima kunjungan hormat oleh 43 ahli Southern Peace Media Club (SPMC) dari wilayah selatan Thailand di Galeri DiRaja Arau di sini hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan santapan tengah hari bersama rombongan berkenaan dalam majlis yang dianjurkan Kelab Media Perlis (Kemps) dan Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis.

Yang turut hadir Presiden Kemps, Shahidi Shahidan dan Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Suphanat Sirunthawinati dan Timbalan Presiden SPMC, Repee Mama.

Program Jalinan Akrab Media Selatan Thailand dengan media di Utara Malaysia ini mengadakan lawatan ke Perlis, Kedah dan Perak mulai hari ini hingga 7 Disember. - UTUSAN ONLINE