Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy berkata, langkah itu lebih penting berbanding memilih bahan yang berbentuk sensasi sebagai keutamaan untuk siaran.

Katanya, terdapat banyak bahan berita yang mampu dijadikan inspirasi mengukuhkan perpaduan antaranya aktiviti membabitkan Kelab Rukun Tetangga (KRT) dan Tabika Perpaduan.

"Kebelakangan ini, perpaduan dalam kalangan rakyat dilihat terjejas akibat banyak faktor antaranya politik.

"Dalam hal ini, media memainkan peranan penting dalam mempertahan dan memupuk perpaduan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Malam Interaksi Perpaduan Bersama Media peringkat negeri, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional negeri, Choo Ken Hwa; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergasi Nasional (JPNIN), Datuk Baharin Idris dan Pengarah JPNIN negeri, Salasiah Hashim.

Lebih 30 para pengamal media di negeri ini hadir dalam majlis tersebut.

Waytha Moorthy menarik perhatian, pihaknya bercadang menganjurkan peraduan dalam kalangan pengamal media untuk menulis atau menerbitkan bahan berita yang menyumbang kepada usaha mengukuhkan perpaduan.

"Kita mungkin mengadakan anugerah tahunan bagi menggalakkan para pengamal media mencari bahan berita mengenainya," ujarnya. - UTUSAN ONLINE