Pengarang Kanan Unit Media Baharu Utusan Malaysia, Aznan Bakar berkata, langkah mengadaptasi perubahan itu amat penting mengikut trend permintaan pembaca agar organisasi berkenaan tidak akan ketinggalan di belakang.

Malah katanya, media tradisional juga perlu menggunakan segala platform sedia ada termasuk yang digunakan oleh pengguna ketika ini seperti Facebook, Twitter dan sebagainya bagi memboleh­kan laporan berita disampaikan secara mudah kepada mereka.

“Media cetak perlu mengadaptasi mengikut perkembangan semasa kerana ketika ini didapati ramai pembaca tidak lagi menggunakan cara konvensional untuk mendapatkan berita sebaliknya bergantung kepada telefon pintar.

“Kita perlu tahu apa yang pembaca inginkan (berita). Untuk itu, kaedah yang bersesuaian perlu digunakan untuk pastikan berita disampaikan kepada mereka.

Dengan cara itu akan menentukan sama ada sesebuah organisasi relevan atau tidak,” katanya dalam sesi panel: Membentuk Laporan Berita Media Ke Arah Teknologi Digital dan Cabarannya sempena Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2017 di sini hari ini.

Utusan Malaysia merupakan rakan media bagi penganjuran MSMW 2017.

Dalam pada itu Aznan berkata, perkembangan teknologi yang sema­kin pesat turut memerlukan pengamal media menguasainya bagi memastikan berita yang disampaikan lebih pantas dan tepat kepada pembaca.

Malah kata beliau, semua media tradisional kini dalam proses ke arah menuju perkembangan teknologi itu dan Utusan Malaysia juga tidak ketinggalan mengambil inisiatif yang sama.

“Utusan Malaysia juga didedahkan dengan kaedah Mojo (Mobile Journalism) sebagai usaha mempelbagaikan penyampaian berita kepada rakyat,” katanya.

“Ini selaras dengan kewujudan media sosial di negara ini seperti Facebook, Instagram dan Twitter yang menjadi pesaing dan sumber berita alternatif kepada pembaca,” katanya.