Pengerusinya, Halim Ishak berkata, rombakan itu penting bagi memastikan kedua-dua agensi berkenaan dapat melaksanakan dasar serta undang-undang negara dengan telus dan tanpa kompromi terutamanya berkaitan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang strukturnya agak serabut dalam kedua-dua agensi terbabit.

Menurutnya, MCCF menggesa kementerian untuk memberi perhatian kepada isu-isu pertindihan skop tugas terutamanya yang melibatkan hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap PATI.

“Bagi memantapkan semula PDRM agar tidak terus-terusan dipandang sinis oleh masyarakat, MCCF mencadangkan agar penstrukturan dilakukan terhadap Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi mengkaji keberkesanan peranan jabatan itu dalam menangani isu membabitkan salah laku anggota dan pegawai polis.

“Malah, MCCF mahu Unit Risikan dan Bantuan Teknik yang selama ini berada di bawah seliaan JIPS diletakkan di bawah Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), bagi memastikan maklumat risikan tidak lenyap sebelum sampai ke pengetahuan KPN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai rombakan Jabatan Imigresen pula, Halim mencadangkan agar JIM kembali kepada tugas hakiki penubuhan jabatan itu yang menumpukan kepada pengurusan dokumen perjalanan warganegara Malaysia serta warga asing dan bukannya terlibat dalam pengurusan serta pemantauan pekerja asing. - UTUSAN ONLINE