Kayuhan anjuran MBSA dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hikers Climbers dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling itu bermula dari Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini, membabitkan kayuhan sejauh 17 kilometer (km).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, melalui acara itu peserta akan mengagihkan kira-kira 1,000 bendera Jalur Gemilang di empat perhentian ditetapkan antaranya sekolah, premis dan kawasan kediaman.

“Kita sudah mula menggerakkan semangat patriotik bermula hari ini sehingga sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

“Peserta akan menyerahkan bendera serta memberikan kata-kata semangat kepada penduduk Shah Alam untuk menggalakkan mereka bersama-sama warga kerja MBSA memperingati Hari Kemerdekaan, "katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Peserta Kayuhan Kemerdekaan di Dataran Kemerdekaan di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Haris berkata, dengan adanya semangat begini, seluruh bandar Shah Alam akan disemarakkan dengan rasa patriotik dan paling penting semangat cintakan negara.

"Pada masa sama kita akan cuba memperbanyakkan program bersifat patriotik pada masa hadapan untuk memberi kesedaran kepada orang awam.

“Kita turut menggalakkan pihak swasta mahupun badan bukan kerajaan menganjurkan program seperti ini dan bercadang menjalin lebih banyak kerjasama dengan mereka, "katanya.

Kayuhan Santai yang disertai Kelab Basikal Shah Alam dan komuniti sekitar Shah Alam itu turut menampilkan acara lain antaranya Kayuhan Malam sempena sambutan Earth Hour, Kriterium Shah Alam dan Kayuhan Enduride untuk melahirkan masyarakat sihat dan cergas. - UTUSAN ONLINE