Presidennya, Mua’amar Gha­dafi Jamal Jamaludin berkata, MBM turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Pakatan Harapan yang juga berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan hasil kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“MBM sebagai badan induk pertubuhan belia di Malaysia menyeru masyarakat menerima keputusan PRU-14 dengan hati terbuka. Sebagai negara yang menuju amalan demokrasi yang matang, tidak timbul amalan pilih kasih, balas dendam dan penafian hak terhadap pihak lawan apatah lagi panik terhadap apa yang berlaku.

“MBM meyakini apa yang perlu kita lakukan bersama menunaikan tanggungjawab masing-masing dan bersama untuk membangunkan Malaysia menjadi lebih baik dan maju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mua’ammar Ghadafi berkata, ucapan tahniah juga diberikan kepada semua parti politik yang bertanding di atas kerja keras yang menjadi sebahagian daripada ‘warna pesta’ demokrasi.

“Kepada semua penjawat awam, kita kembali kepada tugasan kita dalam melaksanakan dasar kerajaan dan bekerja sebagai pelaksana yang terbaik sebagai tanda cinta dan kasih kepada negara tercinta.

“Kepada generasi muda Malaysia, MBM menghargai kesungguhan dalam menyatakan suara dan masa depan anda. Slogan belia penentu masa depan negara ternyata bukan slogan kosong tanpa idelisma dan kesan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan terdahulu terutamanya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia di atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada MBM.

“Gandingan ‘wisdom’ ini ditambah dengan kesungguhan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin mencatatkan sejarah tersendiri dalam menggerakkan program-program ‘momental’ belia di seluruh negara ini.

“Salah satu keutamaan kerajaan kini adalah memastikan pembangunan belia di Malaysia akan terus diperkasakan lagi, lebih-lebih lagi penglibatan anak muda dalam berpersatuan, dengan cabaran yang ada, MBM akan sentiasa menyokong dan memberi pandangan kepada kepimpinan kerajaan dalam memastikan nasib dan masa depan generasi muda sentiasa dibela dan diberi keutamaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE