Menurutnya, jika laporan itu benar, beliau amat kecewa dan tindakan segera mesti diambil kerana kerajaan negeri serta Jabatan Perhutanan Pe­rak tidak merestuinya terutama apabila membabitkan pene­rimaan suapan oleh penguat kuasa.

Namun, katanya, pihaknya memerlukan lebih maklumat dan mendakwa Utusan Malaysia enggan bekerjasama memberikan senarai lapan syarikat yang didakwa terlibat menjalankan pembalakan melebihi had kawasan di bawah lesen.

“Jadi, tindakan saya sete­rus­nya hari ini saya te­lah meminta Setiausaha Sulit Kanan saya membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mereka adalah pihak berkuasa yang boleh mendapatkan lebih maklumat.

“Apabila laporan sebegini keluar dan Jabatan Perhuta­nan telah memasuki kawasan dilaporkan itu dari semalam, itu tindakan yang kita boleh buat.

“Namun, jika benar me­langgar pele­senan hutan dan sebagainya, kita perlu ambil tindakan tetapi maklumat itu kita tidak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan hak milik tanah kepada 179 peneroka Felda Su­ngai Behrang di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Behrang di sini hari ini.

Ahmad Faizal mengulas laporan khas Mingguan Malaysia semalam yang mendedahkan kegiatan lapan syarikat didakwa ‘kebal’ tindakan meskipun menjalankan ke­giatan pembalakan haram menyalahgunakan lesen di sekitar kawasan hutan simpan kekal di daerah Hulu Perak.