Dr. Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu menyifatkan posting dalam media sosial Facebook itu sebagai khabar angin.

"Pertama itu adalah khabar angin dan kedua, siapa yang menyebarkannya," jawabnya ringkas ketika diminta mengulas berhubung perkara itu selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Logo dan Maskot Sukan Malaysia (Sukma) XX Johor 2020 di Hotel Impiana, Skudai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sheikh Umar Ali, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Mohd Noorazam Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma XX Johor 2020, On Jabar.

Sebuah laman sosial Facebook semalam memuat naik satu posting bertajuk MB Johor akan lepaskan jawatan dipercayai disebabkan kegagalan Dr. Sahruddin dalam menguruskan masalah pencemaran selain mendakwa menerima tekanan daripada pelbagai pihak yang kecewa dan sedih dengan pentadbiran Johor hari ini. - UTUSAN ONLINE