Malah Muhammad Fiqri Wahyudi 28, yang merupakan ahli bomba dari Kalimantan menyifatkan misi yang disertainya antara paling mencabar dan meninggalkan kesan mendalam sebagai anggota penyelamat.

Selain itu katanya, dia dapat melihat dan mengeluarkan pelbagai rupa bentuk mayat sepanjang misinya di Palu.

“Banyak mayat yang telah reput yang masih ada di celah runtuhan bangunan. Jika kita tarik atau memegang mana-mana anggota badannya, pasti ada yang tertanggal. Kejadian di sini sangat menyedihkan.

“Saya percaya, masih ba­nyak sebenarnya yang terkorban atau mungkin ada mangsa yang hidup tersepit di celah runtuhan bangunan. Jika terlalu lama, mereka akan mati. Saya pasti, mayat yang terlalu sukar atau tertimbus terlalu dalam terpaksa dikebumikan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, anggota penyelamat Topos Azteca dari Mexico, Natalia Bonaza, 34, berkata, dia baru tiba di bandar tersebut untuk membantu pasukan penyelamat tempatan dalam misi kemanusiaan.

Menurutnya, dia bersama be­berapa anggota pasukan itu yang telah berpengalaman dalam misi menyelamat mangsa tsunami di Aceh pada 2004 akan merangka pelan secara terperinci bagi memudahkan tugas mereka.

“Kejadian di sini agak dah­syat kerana ia melibatkan gempa bumi dan juga tsunami. Oleh itu, peralatan perlu lengkap dan kami akan merangka strategi tertentu dengan bantuan penyelamat tempatan,” katanya.