Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif malah mengatakan penawaran itu bukanlah menunjukkan diskriminasi kepada mana-mana kaum lain tetapi bertepatan dengan majoriti komposisi penduduk dan jumlah pelajar bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jelas beliau, walaupun program matrikulasi tidak membuka lebih banyak kuota kepada kaum lain, namun Kementerian Pendidikan juga menawarkan program prauniversiti melalui kemasukan pelajar ke kolej dan tingkatan enam yang turut menyediakan peluang memasuki program ijazah sarjana muda di universiti awam.

“Usaha ini jelas melambangkan tiada pengecualian daripada kerajaan untuk memastikan seluruh rakyat mendapat pendidikan terbaik di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam negara.

“Pertikaian dan tekanan yang dibuat oleh sesetengah pihak memperlihatkan seolah-olah tiada lagi peluang dan pilihan bagi pelajar lepas SPM bukan bumiputera menyambung pengajian ke peringkat seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan bahawa penawaran tempat sebanyak 2,200 dan 1,000 kepada pelajar berketurunan India dan Cina dalam program matrikulasi adalah inisiatif secara ‘one-off’ bagi tahun lalu.

Jelasnya, perkara itu juga berdasarkan kepada keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota bumiputera yang tidak diisi selain pengambilan yang dibuat masih berlandaskan sistem meritokrasi. - UTUSAN ONLINE