ASYRAF WAJDI
ASYRAF WAJDI

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu perlu memberi penjelasan secara tuntas bahawa beliau menolak sama sekali ajaran tersebut.

Katanya, majlis agama Islam sebelum ini telah mengeluarkan fatwa bahawa fahaman Syiah adalah terkeluar daripada akidah dan tidak boleh sama sekali diiktiraf di negara ini.

“Kita ingin minta supaya Mohamad memberi penjelasan secara terbuka dalam soal tersebut. Sebagai Menteri Pertahanan yang menjadi pelindung kepada keamanan dan kestabilan di negara ini perlu mendukung apa yang difatwa oleh majlis agama.

“Kehadiran beliau (Mohamad) di sebuah markas Syiah di Selatan Thailand baru-baru ini sememangnya mencetuskan tanda tanya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pemergian Mohamad ke salah sebuah markas Syiah di Selatan Thailand baru-baru ini menjadi persoalan netizen media sosial.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dikatakan menyertai majlis korban di masjid Zainabiyyah di Phatthalung, Thailand yang menjadi markas Syiah di wilayah itu.

Kehadiran Mohamad yang turut memberi ucapan pada perhimpunan di masjid berkenaan dimuat naik dalam akaun facebook pemimpin dan pengikut Syiah di markas berkenaan.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, tindakan Mohamad itu boleh menimbulkan pelbagai persepsi memandangkan wilayah itu adalah merupakan kawasan Syiah.

“Ia seolah-olah mengiyakan dakwaan pelbagai pihak selama ini bahawa Mohamad pengganut fahaman Syiah,” katanya. - UTUSAN ONLINE