MASZLEE MALIK
MASZLEE

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Komunikasi Korporat UIAM, pengurusan universiti berkenaan berpandangan, Maszlee adalah calon yang ideal untuk jawatan tersebut kerana merupakan seorang bekas pensyarah UIAM selain pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak-hak dan menjamin kebajikan para pensyarah.

“Meskipun sibuk dengan mandat sebagai Menteri Pendidikan, Maszlee telah menyatakan kesediaan untuk memegang jawatan Presiden UIAM dan beliau juga telah menzahirkan komitmen tidak akan menerima sebarang bayaran sepanjang tempoh memegang jawatan itu.

“UIAM amat beruntung mendapat Menteri Pendidikan sebagai Presidennya kerana struktur pentadbiran UIAM berbeza berbanding universiti-universiti lain di Malaysia dan memerlukan pucuk pimpinan yang mampu memahami kedudukan UIAM untuk meletakkannya di persada dunia,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan Maszlee juga didokong oleh Rektor UIAM, Prof. Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak yang menekankan kepentingan menegakkan autonomi universiti supaya dapat mewujudkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang mampu menghasilkan graduan yang holistik.

“Dengan pelantikan ini juga beliau boleh memberi khidmat nasihat dalam pembangunan UIAM ke arah mewujudkan satu taman ilmu yang dihormati oleh masyarakat dalam negara dan antarabangsa. Ia sejajar dengan kehendak pemegang taruh UIAM yang terdiri daripada ahli negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) khususnya dan negara lain amnya.

“Jawatankuasa pengurusan universiti, kakitangan akademik dan pentadbiran serta seluruh pelajar UIAM mengucapkan setinggi tinggi tahniah kepada Maszlee atas pelantikan ini. Pihak universiti juga menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Dr. Rais Yatim atas sumbangan dan jasa beliau kepada UIAM sepanjang menerajui UIAM sebagai Presiden,” katanya. - UTUSAN ONLINE