Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat Kabinet telah membuat keputusan yang jelas mengenai perkara tersebut kepada Maszlee.

“Saya fikir dia telah memberi respon yang dia memerlukan masa, saya hendak menasihatkan yang dia sepatutnya meletakkan jawatan (Presiden UIAM) secepat mungkin dan dalam tempoh itu, cari pengganti yang bersesuaian untuk ambil alih.

“Ini kerana ia merupakan keputusan tegas daripada parti dan kerajaan, saya fikir Dr. Maszlee sepatutnya tahu mengenainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.

Kelmarin, Maszlee enggan mengulas mengenai desas-desus beliau akan melepaskan jawatan Presiden UIAM dengan memaklumkan perkara berkenaan akan dijawab dalam sidang akhbar lain dan bukannya semasa majlis konvokesyen UIAM.

Sementara itu, berhubung pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhyiddin berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak tahu keputusan daripada Maszlee ini sama ada dia ada membuat konsultansi dengan Perdana Menteri, saya tidak begitu pasti, saya tidak dapat mengulas lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE