Rata-rata yang ditemui berpendapat usaha bagi membantu mereka sudah berakhir kerana tiada usaha serius dilakukan untuk mening­katkan pendapatan dan kemudahan sosial serta pendidikan warga Felda.

Walaupun menjanjikan pelbagai insentif dan pemansuhan hutang peneroka, namun ia dilihat hanya janji palsu dan sukar dite­rima peneroka yang mengha­rap PH lebih mesra golongan itu.

Ketua Peneroka Felda Tersang 1, Raub, Zahari Arshad, 59, berkata, antara masalah dihadapi adalah kelewatan bayaran sara hidup, sekali gus menyebabkan peneroka terlibat menghadapi tekanan hidup yang sukar ke­rana tiada wang untuk membayar bil elektrik dan air serta membeli barangan keperluan.

“Setiap peneroka sepatutnya terima RM1,500 sebulan untuk empat hektar tetapi baki tinggal sedikit setelah ditolak hutang. Bayaran kerja-kerja kontrak yang dlaksanakan pemborong terutama koperasi juga lambat menyebabkan banyak bayaran tergantung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini ini.

Ketua Peneroka Felda Jengka 6, Saharuddin Lela, 61, mengakui kehidupan warga Felda kini semakin terhimpit akibat pelaksanaan dasar tidak mesra peneroka di tambah dengan isu kejatuhan harga kelapa sawit.

“Tekanan hidup dialami mendorong sesete­ngah peneroka menjual sawit kepada pihak swasta, walaupun murah tetapi terpaksa bagi mendapatkan tunai,” ujarnya.

Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kam­­pung Felda Bukit Ta­jau, Nor Azhar Abdul Latif, 58, pula berkata, kelewatan bayaran sara hidup tidak seharusnya­ berlaku kerana janji PH adalah untuk membina kehidupan lebih baik dalam kalangan warga Felda.

Sementara itu, Ketua Pene­roka Felda Jengka 15, Adnan Darus, 62, berkata, dasar keraja­an PH yang tidak mesra pene­ro­ka perlu ditangani segera demi kebaikan kedua-dua pihak.

Menurutnya, jika kerajaan terdahulu dapat memberi subsidi sekiranya pendapatan pene­roka kurang RM1,000 sebulan, kerajaan baharu seolah-olah tidak mempedulikan langsung keadaan mereka sama ada cukup makan atau sebaliknya.