Pertukaran ini menyaksikan 4 Div Inf kini memiliki tiga buah briged termasuk 11 Briged Infantri di Selangor dan 12 Briged Infantri di Kuala Lumpur.

Sebelum ini 2 Bgd Inf berada di bawah pemerintahan pasukan 2 Divisyen Infantri (2 Div Inf) yang bertanggunggjawab menjaga pertahanan utara dan pantai timur Semenanjung.

2 Bgd Inf yang ditubuhkan pada Oktober 1955 mencatat banyak kejayaan operasi semasa memerangi pengganas komunis seperti di Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Nazir Mami memberitahu, pertukaran ini sejajar dengan penstrukturan pemerintahan sedia ada bagi mengimbangi kekuatan semua divisyen.

Menurut beliau, perkara itu telah diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Panglima Tentera Darat Siri 1/2019 yang diadakan pada 7 Mei lalu.

“Pertukaran formasi ini merupakan detik bersejarah bagi Tentera Darat apabila formasi 2 Bgd Inf bertukar kepada 4 Div Inf.

‘Ini sekali gus membolehkan 4 Div Inf yang bertanggungjawab mengawasi pertahanan di kawasan tengah termasuk Putrajaya melaksanakan tugas tempur dengan lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan upacara pertukaran formasi berkenaan di Padang Kawad Batalion Ke-2 Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra hari ini.

Hadir sama ialah Panglima 2 Div Inf, Mejar Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima 4 Div Inf, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin.

Terdahulu, upacara dimulakan dengan perbarisan tempur seramai 31 pegawai dan 600 anggota diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Mohd. Safarudin Abd [email protected] Arif.

Upacara kemudian diteruskan dengan penyerahan skrol serta penurunan bendera 2 Div Inf diikuti menaikkan bendera 4 Div Inf.

Mohd. Nazir kemudian menyempurnakan pemakaian lencana taktikal baharu kepada Panglima 2 Bgd Inf, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman sebagai simbolik pertukaran. - UTUSAN ONLINE