Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada pukul 9.30 pagi mengenai seorang nelayan mengalami sakit dada di posisi kira-kira 12 batu nautika Timur Tanjung.

"Sebuah bot ronda Maritim Malaysia segera digerakkan dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 10.40 pagi sebelum segera memindahkan pesakit lelaki yang berumur 51 tahun itu dan membawanya ke Jeti Sedili Besar pukul 11.20 pagi.

"Pesakit kemudiannya diserahkan kepada Klinik Kesihatan Sedili Besar di sini untuk tindakan susulan," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Zulfadli menjelaskan, selain tugas-tugas penguatkuasaan, Maritim Malaysia juga membantu masyarakat atau komuniti maritim membuat penerbangan atau pelayaran ihsan bagi kes-kes kecemasan sama ada di pulau atau di lautan.

Justeru, orang ramai yang berdepan situasi kecemasan di perairan Johor Timur supaya menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi ZMTS (07-8916595) atau talian kecemasan. - UTUSAN ONLINE