Institut yang berada di bawah naungan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu ditubuhkan sejak dari 2002 yang dijenamakan semula dengan nafas baharu pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa berkata, dana tahunan yang diperuntukkan itu adalah khas bagi perbelanjaan pembangunan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Saya yakin UniKL-MIDI akan menjadi institut reka bentuk yang unik selari dengan objektif penubuhannya. Dana yang diperuntukkan hasil daripada pembentangan kertas kerja pihak kampus itu juga perlu digunakan sebaiknya dalam aspek penambahbaikan fasiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Institut Reka Bentuk Itali Malaysia di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dr. Hasnita Hashim, Presiden UniKL, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Suud serta Duta Itali di Malaysia, Cristiano Maggipinto.

Mengulas lanjut, Sivarasa berkata, pemilihan negara Itali sebagai rakan kerjasama kerana melihat perkembangan pelbagai bidang teknologi yang cemerlang di samping sejarah yang terdapat di negara itu.

“Kerajaan mahu melihat hasil yang cemerlang melalui usahasama tersebut kerana ini adalah sebahagian daripada usaha menuju negara maju yang mampu melahirkan pereka bentuk yang mahir,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mazliham berkata, terdapat tiga program pengajian ditawarkan iaitu Reka Bentuk Industri, Pengurusan Perniagaan dan Fesyen dengan dua profesor pelawat dari Itali akan berkunjung ke negara ini. - UTUSAN ONLINE