Hasan Rahman
Hasan Rahman

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan (JPPU) negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, penubuhan pusat jualan itu akan dikemukakan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri minggu ini sebelum dipanjangkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada minggu seterusnya.

Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti lokasi pusat jualan peralatan ICT itu di lobi Wisma Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Jalan Hang Tuah berhadapan bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri di sini.

“Kita mempunyai persediaan untuk membuka Mara Digital pada bila-bila masa namun ia terlebih dahulu perlu dikemukakan ke pe­ringkat kerajaan negeri sebelum lawatan tapak bersama pegawai kementerian diadakan.

“Apabila mendapat kelulusan daripada kementerian, kita akan melaksanakan persiapan termasuk mengubah suai lokasi perniagaan berkenaan mengikut kesesuaian Mara Digital agar dapat direalisasikan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Portfolio Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan Negeri 2016 di Dewan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Rusdan Abdul Talib dan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Rosmawati Gha­zali.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini mempertimbangkan cadangan daripada beberapa kerajaan negeri termasuk Melaka bagi mewujudkan Mara Digital dalam usaha menyediakan kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan peralatan ICT yang berkualiti.

Jelas Hasan, pembukaan Mara Digital di negeri ini juga dilihat mampu memberi peluang perniagaan kepada para peniaga bumiputera untuk bersaing dalam perniagaan barangan ICT.

“Kita mahu masyarakat di negeri ini mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan peralatan berkaitan ICT selain merancakkan sektor ekonomi dalam kalangan masyarakat setempat,” ujarnya.

Mara Digital pertama mula beroperasi di Bangunan Mara Atrium Busana Mall, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada awal Disember lalu yang menyediakan pelbagai kelengkapan ICT kepada orang ramai.

Selain Kuala Lumpur dan Melaka, dua lagi pusat ICT berkenaan dijangka dibuka di Shah Alam dan Damansara, Selangor menjelang pertengahan tahun ini.