Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, langkah untuk memansuhkan kutipan tol secara berpe­ringkat itu bagaimanapun perlu mengambil kira kemampuan kewangan negara sebelum dilaksanakan.

“Kita boleh kaji balik supaya dilakukan secara berperingkat kerana kalau nak buat sekali gus termasuk tol Lebuh Raya Utara-Selatan dan lebuh raya lain, kerajaan tidak ada kemampuan untuk bayar pampasan dan ganti rugi kepada syarikat konsesi terlibat.

“Bagaimanapun kita akan memberi keutamaan untuk memansuhkan kutipan tol terhadap lebuh raya yang tidak mempunyai jalan alternatif,” katanya selepas program Bakar Lemang Sempena Hari Raya Aidiladha anjuran Masjid Taman Berlian di sini hari ini.

Menurut Amiruddin, kaji­an lebih lanjut bagaimanapun perlu dilakukan melibatkan semua pihak berkaitan termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan sebelum pemansuhan bayaran tol dapat dibawa ke Kabinet.

Dalam pada itu, beliau melihat langkah menghapuskan bayaran tol sepenuhnya bagaimanapun akan memberi impak positif kepada ekonomi terutama berkaitan harga barangan.

“Tol menjadi salah satu daripada komponen yang mereka (peniaga) katakan kami terpaksa jual dengan harga begini sebab kos pengangkutan kami begini.

“Jadi apabila tol sudah tidak dikenakan lagi, maka satu komponen daripada kos itu akan hilang seterusnya beri impak (penurunan) kepada harga barangan, perkhidmatan dan sebagainya,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Amiruddin memberitahu, Kementerian Kewangan terbuka terhadap cadangan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin untuk menambah baik tadbir urus kementerian itu dalam memastikan ekonomi negara berada pada landasan betul.

“Kita terbuka dengan apa jua cadangan dan sebab itu kita keluarkan tender terbuka bagi memastikan kerajaan dapat pula­ngan wang.

“Ini kerana kerajaan terdahulu banyak buat rundingan terus yang menyebabkan kerajaan rugi dan kita tidak mahu perkara se­perti itu berlaku lagi,” katanya.