Guru Besar SK Jalan Kuantan 1, Halim Khamis berkata, guru di sekolah ini mula menggunakan kemudahan tablet tersebut sejak hari pertama menerimanya terutama dalam proses PdPc melibatkan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan murid tahun 5.

“Guru perlu kreatif menggunakan peluang pemberian tablet percuma ini untuk membuat lembaran kerja digital yang dapat memantapkan proses PdPc di dalam bilik darjah di samping membaca e-Paper Utusan Malaysia bagi meluaskan pengetahuan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Intervensi Tablet Guru yang dikendalikan Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin di sekolahnya di sini hari ini.

Yang turut hadir Guru Penolong Kanan Pentadbiran sekolah ini, Norlizan Muhamad.

Dalam program itu, guru dibimbing membangunkan lembaran kerja digital yang memenuhi keperluan pembelajaran abad ke-21 menggunakan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia yang mengandungi soalan latihan, bahan rangsangan multimedia dan jawapan.

Pada akhir program, SK Jalan Kuantan 1 menerima sijil pengiktirafan sebagai Sekolah Mentor bagi program intervensi menggunakan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia yang boleh dijadikan rujukan sekolah lain di kawasan sekitarnya.

Sehingga kini, 120,000 guru di Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor telah menerima tablet ini manakala rakan sejawat mereka di Negeri Sembilan, Perak dan Putrajaya akan menerimanya tidak lama lagi.