Menteri Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Penggunaan (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, garis panduan berkenaan memberi manfaat kepada kedua-dua pengeluar serta pengguna kenderaan terutama dari segi meningkatkan tahap keselamatan kenderaan mereka.

Ke arah itu, jelasnya, pelabelan ASEAN NCAP akan berjalan secara sukarela bermula 1 Mac tahun ini.

"Walaupun garis panduan ini belum lagi dimandatorikan tetapi bagi mana-mana pengeluar atau wakil jualan yang tidak mendapat kelulusan ujian perlanggaran ASEAN NCAP, sekiranya mereka melekatkan pada kenderaan untuk dijual dengan pengesahan label yang tidak diluluskan oleh ASEAN NCAP maka mereka boleh dikenakan tindakan.

"Tindakan itu adalah di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000.00 bagi orang persendirian atau RM250,000.00 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi tiga tahun kerana telah melabelkan penyataan palsu yang boleh memperdayakan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Garis Panduan Pematuhan Pelabelan ASEAN CAP 2019 di sini hari ini.

Pelabelan ASEAN NCAP itu akan mengandungi maklumat mengenai spesifikasi kenderaan, kod respon pantas atau QR, ciri-ciri keselamatan kenderaan, pelabelan ASEAN NCAP atau NCAP yang lain.

Ini bermaksud, mana-mana kenderaan yang melalui proses pengujian kenderaan akan mendapat penarafan yang di keluarkan oleh ASEAN NCAP.

Manakala bagi kenderaan yang tidak melalui proses pengujian ASEAN NCAP kenderaan tersebut akan dilabelkan sebagai tanda sengkang pada maklumat kenderaan berkenaan.

Mengikut garis panduan itu jelas Saifuddin, pengeluar melalui wakil jualan hendaklah mempamerkan pelekat pada cermin hadapan dan cermin tepi kenderaan di mana-mana pusat jualan atau pameran kereta.

Menurutnya, pelekat label kenderaan hanya boleh dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) selepas didaftarkan kelulusannya oleh Bahagian Standard Kepenggunaan KPDNHEP. 

"Kenderaan yang tidak melalui ujian perlanggaran oleh ASEAN NCAP, wakil jualan kenderaan berkenaan juga diminta menampalkan pelekat label ASEAN NCAP pada cermin depan dan cermin tepi kenderaan di mana keputusan taraf bintang tidak dicatatkan apa-apa kerana kenderaan mereka tidak melalui ujian perlanggaran ASEAN NCAP memperdayakan pengguna," katanya. - UTUSAN ONLINE